:: Klik Semua Wokayy :) ::

Tuesday, January 17, 2012

:: Berita Seterusnya... ::

 
 
"TAWAU 15 Jan. - Dua beradik perempuan rentung selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran yang melibatkan tujuh buah rumah di Kampung Titingan, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.30 pagi, Andi Herah Andi Muddah, 19, dan adiknya, Puteri Intan Andi Muddah, 6, ditemui dalam keadaan berpelukan di dalam sebuah bilik sebaik sahaja api berjaya dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata, pihaknya menemui mayat dua beradik itu selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi ini.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau dan buat masa ini, pihak kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, seramai 21 anggota bomba bersama empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 3.50 pagi.

Sementara itu, Andi Herah atau lebih dikenali sebagai Nowet, sepatutnya melaporkan diri di Kolej MAHSA cawangan Kota Kinabalu pada 28 Januari ini.

Dua beradik itu masing-masing merupakan anak kedua dan keempat daripada lima beradik, tinggal bersama ibu bapa dan dua lagi adiknya di tingkat bawah rumah dua tingkat manakala neneknya dan 10 anggota keluarganya di tingkat atas rumah itu.

Nenek mangsa, Rahmah Beddu Rahman, 65, yang tinggal di tingkat atas berkata, dia menyedari kebakaran itu setelah mendengar teriakan dari luar rumahnya yang mengatakan ada kebakaran.

"Dalam keadaan gelap, saya bangun dan terus mencari cucu saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, usaha bapa Andi Herah, Andi Muddah Manawang, 51, untuk menyelamatkan dua anaknya itu bagaimanapun gagal walaupun selepas beberapa kali menendang pintu bilik anaknya itu yang terkunci dari dalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, insiden kebakaran itu turut menyebabkan 74 orang daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

"Kita semua pasti bersedih kerana musibah kebakaran kali ini bukan sahaja memusnahkan harta benda dan tempat tinggal penduduk malah turut melibatkan kehilangan nyawa.

"Bagaimanapun, saya berharap kesemua mangsa dapat bersabar dan menganggap tragedi ini sebagai ketentuan Allah," katanya.

Tambahnya, kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka.

Gambar:PENDUDUK setempat membantu mencari cebisan mayat dua beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Titingan, Tawau, Sabah, semalam. - BERNAMA"

Kopipes dari MyTawau...
 

♥ Thanx Sudi Baca Entry RotiKaya.. Mwaahh ♥

0 Orang Paling K.I.U.T:

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...